Friday 20 March 2015

PENYEBARAN HIV

SELAGI BOLEH MENCEGAH KITA CEGAH!!!!!!!


Soalan 1
Bagaimana virus Human Immuno Virus (HIV) boleh merebak?
Jawapan 1
Virus HIV merebak melalui:
  • hubungan seks yang tidak selamat (tanpa perlindungan) dengan orang yang dijangkiti HIV (sama ada heteroseksual atau homoseksual)
  • menggunakan semula jarum / alat tajam atau picagari yang telah digunakan oleh seseorang yang dijangkiti HIV
  • ibu yang dijangkiti HIV kepada bayinya semasa kehamilan, proses kelahiran atau melalui penyusuan susu ibu
Soalan 2
Apakah bendalir badan yang boleh merebak virus HIV?
Jawapan 2
Bendalir badan yang boleh merebakkan virus HIV adalah seperti berikut:
  1. Darah
  2. Cecair seminal/air mani (dan juga air mazi)
  3. Rembesan faraj
  4. Susu
Soalan 3
Bolehkah virus HIV merebak melalui seks oral?
Jawapan 3
Ya, boleh. Jika salah seorang daripada individu tersebut telah dijangkiti virus HIV, pasangannya boleh dijangkiti HIV jika ada ulser atau luka pada mulut semasa melakukannya tanpa perlindungan kondom. Jika tidak tahu status pasangan anda, gunakan kondom. Walaubagaimanapun anda masih lagi terdedah kepada jangkitan virus HIV.
Soalan 4
Bolehkah virus HIV merebak melalui berciuman/berkucupan/bercumbuan?
Jawapan 4
Berciuman/ berkucupan/ bercumbuan tidak menyebabkan jangkitan HIV melainkan air liur pembawa HIV yang berciuman dengannya bercampur dengan darah (jika terdapat luka atau ulser pada mulut).
Soalan 5
Adakah virus HIV boleh merebak melalui gigitan nyamuk?
Jawapan 5
Tidak. Tidak ada bukti saintifik menunjukkkan bahawa gigitan nyamuk boleh merebakkan virus HIV sehingga kini.
Soalan 6
Adakah binatang seperti anjing dan kucing boleh menjadi pembawa virus HIV?
Jawapan 6
Tidak. Virus HIV tidak boleh merebak melalui binatang seperti anjing dan kucing.
Soalan 7
Adakah seseorang berisiko dijangkiti virus HIV sekiranya melakukan hubungan seks tanpa menggunakan kondom?
Jawapan 7
Ya. Hubungan seks tanpa menggunakan kondom boleh menyebabkan.jangkitan HIV. Ini berlaku apabila terdapat perpindahan bendalir tubuh seperti darah dan air mani dari pesakit HIV ke darah seorang yang sihat melalui luka atau sebarang ruang yang membolehkan berlakunya perpindahan tersebut.
Soalan 8
Apakah ujian yang boleh dilakukan untuk mengesan jangkitan virus HIV?
Jawapan 8
Terdapat dua kaedah ujian untuk mengesan jangkitan virus HIV iaitu:
  1. Ujian HIV rapid test
  2. Ujian Antibodi HIV yang terdapat di mana-mana klinik atau hospital
Soalan 9
Adakah kaedah ujian HIV rapid test dan ujian Antibodi HIV tepat?
Jawapan 9
Kedua-dua kaedah ujian ini mempunyai ketepatan sehingga 99.9% dan pengkhususan sehingga 99.8%.
Soalan 10
Sekiranya keputusan ujian HIV adalah negatif, adakah saya bebas daripada jangkitan virus HIV?
Jawapan 10
Keputusan ujian HIV yang negatif tidak bermakna tidak ada langsung jangkitan HIV kerana ia boleh mengambil masa sehingga 6 bulan untuk virus HIV dikesan (tetingkap masa /window period). Oleh itu, anda dinasihatkan menjalani ujian sekali lagi dalam tempoh 3 – 6 bulan untuk memastikan status kesihatan anda.
Soalan 11
Berapa lamakah tempoh tetingkap masa (window period ) untuk virus HIV?
Jawapan 11
Tempoh tetingkap masa (window period) yang telah diterima pakai oleh WHO (World Health Organisation) adalah antara 3 – 6 bulan. Ini kerana sistem imunisasi badan memerlukan masa antara 3 hingga 6 bulan untuk menghasilkan antibodi kepada virus HIV tersebut. Justeru untuk keselamatan, anda dinasihatkan memakai kondom setiap kali melakukan hubungan seks dan lakukan ujian saringan HIV. Jika keputusan mengesan virus HIV negatif bermakna anda tidak dijangkiti virus HIV . Sekiranya anda masih mempunyai keraguan, sila berjumpa dan berbincang dengan doktor.
Soalan 12
Adakah maklumat individu yang melakukan ujian ini dirahsiakan?
Jawapan 12
Ya, maklumat individu yang melakukan ujian ini akan dirahsiakan.
Soalan 13
Apakah yang harus dilakukan sekiranya individu tersebut telah disahkan mengidap HIV?
Jawapan 13
Sekiranya ujian antibodi HIV menunjukkan keputusan positif, kaunselor atau doktor akan memberi nasihat daripada aspek:
  1. Psikologi – bertujuan supaya pesakit tidak mengalami tekanan mental
  2. Rawatan – pesakit perlu mendapatkan rawatan yang diperlukan dengan segera. Dia harus bekerjasama dan patuh mengikut arahan doktor.
Soalan 14
Apakah tanda dan gejala seseorang itu dijangkiti virus HIV?
Jawapan 14
Jangkitan virus HIV tidak mempunyai tanda dan gejala yang khusus diperingkat awal. Oleh itu, seseorang yang dijangkiti virus HIV tidak mengetahui dia telah dijangkiti virus ini. Walaubagaimana pun pada peringkat ini, individu ini masih boleh merebakkan virus HIV kepada orang lain.
Tanda dan gejala akan kelihatan apabila sistem pertahanan tubuh telah dilumpuhkan oleh Virus HIV. Tanda dan gejalanya adalah seperti berikut:
  • Terlalu lemah dan lesu.
  • Penurunan berat badan yang mendadak
  • Demam panas yang kerap.
  • Peluh malam.
  • Kelenjar limfa membengkak
  • Ruam kulit dan ulser pada permukaan mukosa. Contoh : lapisan dalam mulut
  • Cirit-birit yang kronik.
  • Batuk kronik.
  • Hilang ingatan
Soalan 15
Bolehkah virus HIV merebak melalui perkongsian peralatan/perkakasan kebersihan diri seperti pisau cukur dan berus gigi?
Jawapan 15
Boleh. Virus HIV boleh merebak melalui perkongsian peralatan perkakasan kebersihan diri seperti berus gigi dan pencukur.
Soalan 16
Bolehkah virus HIV merebak melalui sentuhan kasual dan aktiviti harian (di tempat kerja, sekolah atau kemudahan sosial) seperti bersalaman, makan bersama, bersukan, memegang tombol pintu, menggunakan kemudahan awam seperti tandas atau telefon, memegang binatang peliharaan dan sebagainya?
Jawapan 16
Tidak. Virus HIV tidak boleh dijangkiti melalui sentuhan kasual dan aktiviti harian (ditempat kerja, sekolah atau kemudahan sosial) seperti bersalaman, makan bersama, bersukan, memegang tombol pintu, menggunakan kemudahan awam seperti tandas atau telefon, memegang binatang peliharaan dan sebagainya.
Soalan 17
Bolehkah virus HIV merebak melalui hubungan seks luar tabii?
Jawapan 17
Boleh. Virus HIV boleh merebak melalui hubungan seks luar tabii.
Soalan 18
Bagaimanakah jangkitan virus HIV boleh dicegah?
Jawapan 18
Jangkitan virus HIV boleh dicegah melalui langkah seperti berikut:
  • tidak berkongsi peralatan peribadi yang boleh memindahkan darah seperti jarum, picaragi, peralatan perubatan, berus gigi dan pisau cukur.
  • tidak melakukan hubungan seks dengan individu  yang tidak diketahui  dan diragui latar belakang dan status kesihatannya.
  • tidak melakukan hubungan seks dengan berbilang pasangan atau dengan individu yang mempunyai banyak pasangan. Ini termasuklah pelacur lelaki dan wanita.
  • tidak melakukan hubungan seks dengan individu yang disyaki pesakit ataupun pembawa virus HIV.
  • menggunakan kondom jika hubungan seks tidak dapat dielakkan (seperti pasangan suami isteri yang dijangkiti virus HIV). Penggunaan kondom boleh menurunkan risiko untuk mendapat jangkitan virus HIV.
  • Tidak membuat tatu (tattoo) dan bertindik (body piercing).
Soalan 19
Adakah penyakit HIV/AIDS boleh dirawat?
Jawapan 19
Ya, penyakit HIV /AIDS boleh dirawat dengan ubat anti HIV . Penggunaan ubat anti HIV (Highly Active Antiretroviral Therapy –HAART) boleh memastikan pesakit HIV/AIDS hidup berkualiti dan boleh berfungsi seperti biasa. Akan tetapi, tidak ada pemulihan untuk Penyakit HIV sehingga sekarang, justeru itu, perawatan HAART semestinya sepanjang hayat dan tidak boleh diberhentikan.
Soalan 20
Berapa lamakah tempoh hayat maksimum bagi penghidap HIV/AIDS?
Jawapan 20
Jangka hayat penghidap HIV/AIDS bergantung kepada kepatuhan pesakit kepada rawatan mengikut dos ubat yang diarahkan. Sekiranya tidak mendapat rawatan, gejala AIDS akan muncul dalam tempoh 8 hingga 10 tahun kemudian. Walaupun demikian, dalam masa 2 tahun, pesakit HIV/AIDS masih berkemungkinan mendapat jangkitan kuman yang teruk, susut berat badan dan menjadi lemah.
Soalan 21
Adakah pengendalian jenazah/mayat pesakit AIDS dilakukan secara berasingan?
Jawapan 21
Ya. Pengendalian jenazah/mayat pesakit AIDS perlu dilakukan secara berasingan.
Soalan 22
Adakah pengendalian jenazah/mayat hanya dilakukan oleh doktor sahaja?
Jawapan 22
Tidak. pengendalian jenazah/mayat boleh dilakukan oleh mereka yang terlatih. Bagi pesakit AIDS yang meninggal di hospital, jenazah/mayatnya akan diurus oleh pihak Hospital. Manakala untuk pesakit AIDS yang meninggal di rumah, waris perlu melapor kematian ke Klinik Kesihatan berhampiran. Pihak Klinik Kesihatan akan melapor ke Pejabat Kesihatan Daerah untuk bantuan pengurusan jenazah.
Soalan 23
Bolehkah pesakit HIV/AIDS berkahwin, mengandung dan melahirkan anak?
Jawapan 23
Boleh. Pembawa HIV boleh berkahwin, mengandung dan melahirkan anak. Walaupun demikian, sebaik-baiknya dapatkan kaunseling terlebih dahulu. Bagi ibu yang telah dijangkiti HIV dan ingin mengandung, rawatan antiretroviral akan diberikan. Selain itu, penjagaan khusus akan diberikan kepada ibu yang dijangkiti HIV semasa mengandung, penjagaan antenatal, semasa kelahiran dan juga selepas bersalin. Penjagaan khusus juga diberikan kepada bayi.
Soalan 24
Adakah ibu yang telah dijangkiti virus HIV boleh merebakkan virus HIV kepada bayinya?
Jawapan 24
Boleh. Virus HIV boleh direbakkan kepada bayi ketika dalam kandungan, ketika melahirkan atau sewaktu memberi susu badan.
Status kesihatan bayi yang baru dilahirkan boleh diketahui melalui ujian HIV PCR dan bayi baru lahir tersebut akan menjalani rawatan susulan setiap 3 bulan sehingga 6 bulan untuk mengenal pastikan status jangkitan HIV.

Okey sebarang pertanyaan boleh terus email dekat saya ye… kita berkongsi pendapat… dan cara penyelesainyanya..







Yang ikhlas : hamba Allah
budakkampung
by BUDAKKAMPUNG6261

No comments:

Post a Comment